Tuesday, August 31, 2010

Minggu 7: Jurnal Refleksi

Salam Warisan, Salam 1 Malaysia & Salam MERDEKA…!!!

Hari ini tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat bagi Negara kita Malaysia. Mendengar kemeriahan pelancaran Logo 1 Malaysia yang dibina menggunakan botol-botol terbuang bersama ‘Malaysian Book of Records’ sempena sambutan kemerdekaan dan Majlis Perasmian Penutupan Tautan Merdeka di KHAR membuatkan saya rasa bersyukur dengan nikmat kebebasan Negara yang kita kecapi sehingga hari ini. Justeru mengingatkan saya tentang tanggungjawab dan tugas yang belum saya selesaikan pada minggu ini. Jurnal Refleksi..!!

Pada minggu lepas (Minggu ke-7), dua kumpulan telah membentangkan hasil tugasan dan kajian lapangan mereka di dalam kelas. Kumpulan pertama dengan tajuk ‘Keroncong’ manakala kumpulan kedua dengan tajuk ‘Kuda Kepang’. Maka, kali ini refleksi di ruangan ini akan berkisar kepada komen, pandangan dan kritikan tentang apa yang disampaikan oleh kedua-dua kumpulan tersebut.

Kumpulan ‘Keroncong’ telah menjadi pembuka tirai bagi pembentangan tugasan kumpulan kuliah SMP 2252 pada hari Rabu di bilik kuliah. Melihat kepada apa yang disampaikan oleh kumpulan ini, secara keseluruhannya saya mendapati maklumat yang disampaikan sangat banyak dan bermakna kepada saya dan sahabat-sahabat yang lain. Saya telah memperoleh pengetahuan tambahan mengenai sejarah umum dan sejarah keroncong di Malaysia, alat muzik keroncong dan evolusinya, cara memainkan alat-alat muzik keroncong seterusnya ciri-ciri khas muzik keroncong (form, rentak & jenis).

Salah satu kelebihan kumpulan ini adalah mereka telah membawa alat-alat muzik keroncong yang sebenar ke dalam bilik kuliah. Kami berpeluang melihat demonstrasi cara alat muzik seperti Ukulele (Cuk), Tenor Banyo (Cak) dan Cello dimainkan. Selepas kuliah saya berpeluang memegang sendiri cak dan cuk dan ini adalah kali pertama saya memegang cak dan cuk. Selain itu, melalui hasil kajian yang dilakukan juga banyak memberi pengetahuan dan membantu pemahaman saya tentang muzik ‘Keroncong’ ini. Mereka menjalankan kajian di UPSI iaitu dengan melibatkan respondan dalam kalangan senior di Fakulti Seni & Muzik sendiri. Apa yang membanggakan saya adalah di UPSI ini terdapat satu kumpulan keroncong yang hebat. Mereka merupakan pelajar UPSI yang mahir dan berjaya mempersembahkan keroncong dengan sangat baik. Usaha mereka ini perlulah diteruskan dan diwarisi oleh adik-adik atau junior yang lain bagi mengekalkan warisan Melayu yang unik ini.

Berdasarkan persembahan yang disampaikan oleh kumpulan ‘Kuda Kepang’ pula, secara tidak langsung saya dapat menambahkan pengetahuan mengenai beberapa perkara penting dalam ‘Kuda Kepang’ yang belum pernah saya ketahui sebelum ini. Antara penekanan penting yang dibawa oleh kumpulan ini adalah sejarah, kostum, alat muzik, cara permainan dan pantang larang dalam ‘Kuda Kepang’. Hasil pembentangan kajian lapangan kumpulan ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada sahabat-sahabat lain melihat usaha dan mendengar respon penggiat kuda kepang dalam mempertahankan tarian ini. Bagaimanapun, saya percaya bahawa masih terdapat beberapa perkara yang belum jelas mengenai 'Mentera Kuda Kepang' ini. Saya berpendapat masih terdapat perkara yang tidak dijelaskan secara tepat dan telus oleh responden mengenai hal ini dan masih menjadi tanda tanya kepada saya dan rakan-rakan termasuk En. Amran sendiri.

Pada pandangan saya, kumpulan ‘Kuda Kepang’ telah menunjukkan satu persembahan yang menarik dengan rekabentuk slide yang berjaya menarik perhatian rakan-rakan. Penggunaan warna, gambar dan rekabentuk grafik, tayangan video menambahkan lagi keberkesanan pembentangan. Namun, perlu berhati-hati dengan pemilihan warna latar belakang (background colour) dengan penyesuaian warna tulisan kerana ada beberapa slide yang kurang jelas tulisan dan paparannya. Pemilihan warna latarbelakang, warna, jenis dan saiz tulisan adalah sangat penting supaya paparan jelas dan mudah dibaca.

Apa pun, secara keseluruhannya persembahan kedua-dua kumpulan ini memang menarik dan berjaya memberikan input tambahan yan berguna kepada sahabat-sahabat yang lain.

TAHNIAH kepada kedua-dua kumpulan... (^_^)

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kump. A

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP2252 Khadijah Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template