Di Ruangan Ini Bertemu Lagi,
Untuk Melengkapkan Jurnal Refleksi,
Makyung & Kompang Kuliah Kali Ini,
Persembahan Muzik Melayu Tradisi.
Pada minggu yang lalu (Minggu ke-6), kuliah yang disampaikan oleh En. Amran adalah mengenai ‘Makyung’ dan ‘Kompang’. Saya memang sangat berminat dengan muzik kompang tetapi tidak berpeluang untuk mempelajari teknik bermain kompang yang betul. Walaubagaimanapun, semasa saya di kampung dahulu saya pernah menyertai satu kumpulan rebana yang diberi nama Kumpulan Rebana Perak di bawah pimpinan En. Suffian dan En. Zaidi sejak saya berusia 13 tahun sehingga 17 tahun. Namun kini, saya tidak dapat bergiat aktif bersama kumpulan tersebut kerana menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Sebelum ini saya fikir kompang dan rebana adalah dua jenis alat muzik yang berbeza. Namun, setelah saya mengikuti kuliah pada minggu ke-6 ini dan bertanya kepada En. Amran barulah saya faham bahawa asasnya kedua-dua alat ini adalah sama. Beralih kepada Makyung pula, walaupun saya pernah mendengar perkataan ‘Makyung’, namun sebelum ini saya tidak pernah didedahkan dengan pengetahuan yang mendalam mengenainya dan tidak pernah terfikir akan belajar mengenai Makyung dalam kursus Muzik Tradisional Malaysia (SMP2252) ini.
Sebelum memulakan kuliah, seperti biasa En. Amran membawa minda kami supaya memberi tumpuan dan fokus kepada apa yang ingin beliau sampaikan. Sebelum masuk kepada isi pelajaran, En. Amran menayangkan 4 video yang berbeza dan seterusnya meminta kami meneka jenis muzik tersebut. Video 1 dan Video 3 adalah persembahan Makyung, Video 2 – Mekmulung dan Video 4 adalah persembahan Menora. Saya tidak dapat meneka Video 2 dan Video 4 (Mekmulung dan Menora) kerana tidak pernah melihat kedua-dua persembahan ini.
Refleksi kali ini akan memberi fokus kepada beberapa objektif utama yang mensasarkan pengetahuan mengenai:
i. Sejarah persembahan, alat muzik, melodi, bentuk dan irama dalam muzik Makyung.
ii. Sejarah, alat muzik, tempo dan rentak Kompang.
A) MAKYUNG
Makyung tergolong dalam kategori bentuk Seni Lakon / Drama Tari sama seperti Menora, Mekmulung dan Jikey. Ia mengisahkan penceritaan yang menggunakan pelakon manusia serta mengutamakan dialog, muzik vokal dan instrumental. Makyung berasal dari Patani (Kerajaan Melayu Lama: Hikayat Patani) dan tersebar luas di Semenanjung Malaysia, Medan dan Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia. Cerita asalnya bertajuk Dewa Muda (cerita rakyat). Kini Makyung telah bertukar dari Tradisi Istana ke Tradisi Rakyat (Folk Theater). Terdapat kira-kira 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire Makyung. Watak-watak dalam Makyung adalah seperti berikut:
i. Pakyung dan Pakyung Muda (Watak Utama)
ii Makyung dan Puteri Makyung (Raja Perempuan)
iii Peran Tua dan Peran Muda (Pengasuh)
iv Tok Wak (ahli nujum dan tukang)
Makyung dipersembahkan untuk tujuan Ritual seperti Main Puteri dan persembahan sebagai sembah guru. Makyung juga dipersembahkan untuk tujuan persembahan di mana lantai panggung didirikan beberapa kaki dari atas tanah, beratap dan ruang berlakon di tengah-tengah panggung. Pemuzik dan pelakon pula mengambil peranan sebagai korus duduk di tepi lantai (Theater In The Round).
Lagu Makyung terdiri daripada Mengadap Rebab, Kijang Emas dan Lagu Sindung. Lagu Mengadap Rebab merupakan lagu terpanjang yang mengiringi nyanyian dan tarian Pak Yung. Ia adalah simbol penghormatan kepada Rebab dan semangat Makyung. Kijang Mas pula adalah lagu selepas Mengadap Rebab yang dinyanyikan oleh Kumpulan Korus dalam keadaan gembira. Ia dinyanyikan Pak Yung dan Mak Yung untuk menceritakan sesuatu pada Korus. Manakala Lagu Sindung pula dinyanyikan Pakyung apabila ingin memberikan arahan kepada peran.
Disamping itu, saya juga telah mempelajari alat muzik serta bentuk (form) dan irama dalam Makyung. Alat muzik utama Makyung ialah sepasang gendang, sepasang tetawak (rendah & tinggi) dan sebuah rebab 3 tali. Manakala serunai, geduk dan canai adalah alat muzik tambahan yang dimainkan dalam Makyung.
Bentuk atau Form dan struktur lagu-lagu dalam Makyung ditentukan dalam sistem gongan (pusingan- jangka masa tertentu yang ditentukan dengan pic-pic gong). Ia dikawal oleh tetawak dan sistem gongan 8 bit, 16 bit, 32 bit. Manakala iramanya menggunakan 4 timbre (pak, duh, cak, ting), gaya meningkah (interlocking) dna hampir semua lagu Makyung bertempo agak pelahan. Melodinya pula dipersembahkan oleh seorang penyanyi dan alat muzik rebab. Struktur melodi Makyung adalah yang berhias dan kompleks.
B) KOMPANG
Permainan kompang dibawa oleh pedagang Arab pada kurun ke 13 Masihi yang datang berdagang ke Nusantara. Ia digunakan untuk menarik perhatian pembeli terhadap perniagaan mereka. Dipercayai permainan ini menjadi ikutan masyarakat tempatan dan seterusnya berkembang sehingga kini. Manakala permainan kompang berkembang ke Tanah Melayu akibat imigrasi masyarakat Jawa. (Abdul Latif Ali, 1980: 12). Di Indonesia dipanggil terbang atau rebana. Terdapat dua (2) pendapat mengenai sejarah kompang. Pendapat pertama menyatakan bahawa bentuknya sama dengan hadrah yang menyerupai kompang yang terdapat di negara Arab. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa lirik lagu yang dimainkan selalunya dalam bahasa Arab, contohnya Selawat Memuji Rasulullah SAW.
Kompang / Rebana juga dikenali sebagai dufuf, daff, duff, tar atau bendir. Klasifikasi kompang adalah membaranofon dalam kelas dram kecil. Dalam permainan kompang pakaian amat dititikberatkan. Jika dilihat kepada adab permainan kompang adalah menjadi satu tegahan melentangkan kompang, tidak boleh melambung kompang dan tidak boleh meletakkan arah kulit muka kompang ke lantai.
Fungsi Kompang
Antara fungsi permainan kompang ialah:
- Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau kumpulan secara ensemble (nasyid, marhaban).
- Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, berkhatam Quran, dan upacara rasmi yang melibatkan pembesar.
- Menjadi elemen permainan ensembel lain seperti orkestra, lagu etnik kreatif, cak lempong, caklempong pacik dan gamelan.
- Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding, contohnya pasukan bola sepak bagi memeriahkan acara sukan serta membuat gimik sorakan.
- Pertandingan – paluan kompang dan kompang formasi.
Jenis Permainan Kompang
Permainan kompang terbahagi kepada beberapa jenis. Antara jenis-jenis kompang ialah Kompang Hadrah ( Negeri Perak ), Kompang Johor / Jawa, Kompang Eizhar ( Negeri Selangor ) dan Kompang Kelalang ( Negeri Melaka ).
Alat muzik kompang
Kompang boleh diperolehi dalam saiz yang berlainan mengikut umur tertentu. Antara saiz kompang yang mengikut peringkat umur pemain adalah seperti berikut:
- 30 cm : 12 tahun dan ke bawah
- 32.5 cm : 13 dan 14 tahun
- 35 cm : 15 dan 16 tahun
- 37.5 cm dan 40 cm : Orang dewasa
Dua (2) bahagian penting alat muzik kompang ialah belualng dan belulang baloh. Belulang diperbuat daripada kulit kambing betina dan belulang baloh dibuat daripada kayu nangka.
Pembuatan Kompang
Di akhir kuliah, saya dan rakan-rakan berpeluang mempelajari teknik bermain kompang termasuk cara memegang kompang dengan betul dan belajar jenis-jenis pukulan / paluan. Secara asasnya, teknik dan jenis pukulan kompang dan rebana (seperti yang pernah saya pelajari) adalah sama. Bagi menghasilkan bunyi ‘pak’ kompang dipalu di bahagian tengah manakala untuk menghasilkan bunyi ‘bung’ kompang perlu dipalu di bahagian tepi. Terdapat beberapa rentak dalam permainan kompang iaitu Inang Asas, Masri Asas dan Asli Asas.
Secara kesimpulannya, kuliah pada minggu ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada saya supaya menghargai keunikan muzik tradisional Melayu. Salah satu cara yang sesuai adalah bersikap prihatin dan peka terhadap maklumat mengenai muzik tradisional yang kita peroleh. Kita perlu menghargai setiap ilmu yang dipelajari dengan cuba mengaplikasikannya dengan sebaik mungkin disamping mencari peluang untuk memahami dan menghayati muzik tradisional Melayu.
Wassalam… “Cintailah Warisan Kita”.
0 comments:
Post a Comment