Friday, September 3, 2010

Minggu 8: Jurnal Refleksi


Salam Warisan & Salam Aidilfitri

Sedar tak sedar, tinggal beberapa hari sahaja lagi saya dan sahabat-sahabat Muslim yang lain akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, 'Hari Kemenangan Bagi Umat Islam'. Kampus dan kolej pun dah sunyi dan lengang. Ramai yang sudah pulang ke kampung. Saya pula masih menanti adinda dari Johor untuk pulang ke kampung bersama. "Memandangkan internet di rumah sewa ku sudah beberapa hari tak boleh nak access, terpaksa la aku ke pejabat ku di bitara untuk siapkan Jurnal Refleksi minggu ke lapan ni. Bimbang tak dapat nak selesaikan tugasku yang satu ini sebab kalau di kampung tak ada Cyber Café yang dekat".

Jurnal Refleksi Minggu Ke-8. “MENORA”. Demikianlah tajuk pembentangan tugasan kumpulan pada minggu lalu. Satu pembentangan yang boleh dikatakan menarik dan sangat bermaklumat. Sesuatu yang menarik dan berbeza adalah demontrasi tayangan video yang dilakonkan sendiri oleh setiap ahli kumpulan pembentang.

Jika ada yang bertanya tentang Menora pada saya sebelum ini, belum pasti saya boleh menjelaskan dengan baik mengenainya. Namun, selepas kuliah yang lalu melalui pembentangan kumpulan M.I.N.D.A, secara tidak langsung dapat menambah input dan kefahaman saya dan sahabat-sahabat yang lain mengenai MENORA iaitu sejenis drama tari yang mempunyai 12 buah cerita yang dipetik daripada kitab-kitab Mahabrata.

Pada awalnya, pembentang menyentuh mengenai sejarah asal usul Menora daripada beberapa sumber termasuk sumber daripada hasil temubual dengan Hj. Mohamed Tharuwat b. Hj. Ismail Bakti, seorang aktivis Menora. Seterusnya pembentang memberi penjelasan mengenai bagaimana lahirnya cerita dan watak Menora (daripada 3 pendapat yang berbeza). Dalam permainan Menora, terdapat tiga watak utama iaitu Perwira, Srikandi dan Tok Perang. Selain itu, terdapat watak-watak lain seperti Pak Sitong, Inang (Dayang) dan Perang (Pengasuh dalam istana). Permainan Menora yang asalnya berunsur spiritual kini telah diubahsuai mengikut perkembangan dan kesesuaian zaman dan hanya dimainkan dalam bentuk persembahan.

Selain itu, pembentang telah memberi maklumat mengenai Busana Menora bagi pelakon lelaki, pelakon wanita, peran dan ahli muzik. Busana yang digunakan sangat unik dan menarik. Saya sangat tertarik dengan Kecopong, sebuah mahkota tinggi atau disebut sebagai Cha Da kerana rekabentuk dan ukirannya yang sangat halus dan berseni. Kami turut difahamkan dengan perbezaan di antara Cha Da Melayu dengan Cha Da Siam. Sekarang saya sendiri boleh membezakan antara keduanya iaitu perbezaan utamanya ialah Cha Da Melayu mempunyai telinga sebaliknya Cha Da Siam tidak bertelinga. Kami juga difahamkn bahawa topeng dan rotan juga merupakan alat yang turut digunakan dalam permainan Menora ini di mana masing-masing mempunyai peranan tersendiri.

Seterusnya, antara perkara lain yang turut disentuh oleh pembentang ialah “Adat Buka Panggung”. Seperti juga permainan Kuda Kepang, Menora mempunyai adat buka panggung yang tersendiri. Terdapat bahan, pengeras dan pantang larangnya yang tersendiri.

Bahagian seterusnya adalah mengenai Alat Muzik yang digunakan dalam permainan Menora. Alat muzik utama adalah Geduk (1), sepasang canang, Pinai (1), Gedombak (2), Cerek (1) dan Kesi (1). Dalam permainan Menora alat muzik ini mempunyai kedudukannya yang tersendiri (Sila Rujuk Rajah 1)

Rajah 1: Kedudukan Alat-Alat Muzik Menora


Pada bahagian terakhir, pembentang menyentuh mengenai Tarian dan Lagu dalam permainan Menora. Berdasarkan apa yang saya fahami, terdapat 12 gerak tari asal yang lahir hasil mimpi puteri dan putera yang dikisahkan dalam permainan Menora ini. Kini, terdapat beberapa jenis gerak tari yang telah diubahsuai dan dimainkan dalam persembahan Menora.

Secara keseluruhannya, setiap ahli dalam pembentangan Menora ini dapat menyampaikan pembentangan dengan baik dan berkesan. Kefahaman hasil kajian lapangan sememangnya dilihat banyak membantu para pembentang dan memberi keyakinan kepada mereka untuk menyampaikan maklumat kepada sahabat-sahabat seterusnya menjawab persoalan-persoalan yang diajukan semasa dan selepas pembentangan. Semoga segala maklumat yang disampaikan oleh pembentang dapat dimanfaatkan bersama. Sekian, Salam Aidilfitri. (^_^)


0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kump. A

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP2252 Khadijah Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template