Tuesday, October 19, 2010

Minggu 9: Jurnal Refleksi


Salam Warisan dan Salam 1 Malaysia...

Pada Kuliah Minggu ke-9 ini merupakan kuliah yang sedikit berbeza berbanding dengan kuliah kami sebelumnya. Ini adalah kerana pada permulaan kuliah, kami telah berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi yang dipersembahkan oleh Dekan Fakulti Muzik (Prof. Dr. Hasan) bersama beberapa orang staf fakulti. Pada kesempatan ini saya telah berpeluang
menyaksikan alat muzik tradisional yang jarang saya lihat dimainkan secara life seperti rebab, kesi dan gedombak. Saya juga telah mengambil kesempatan untuk merakamkan demonstrasi pada hari tersebut.

Demontsrasi telah dijalankan selama lebih satu jam. Dekan Fakulti Muzik kemudian telah menceritakan pengalamannya sewaktu membuat lawatan dan persembahan di beberapa buah negara seperti Singapura dan Beijing. Saya turut merasa bangga kerana seni muzik tradisional kita telah mendapat tempat hingga ke luar negara.

Selesai demontrasi tersebut, En. Amran segera memberi laluan kepada kumpulan pembentang pada minggu ini menyampaikan pembentangan mereka. Pada minggu ini tajuk pembentangan adalah berkaitan dengan Mak Yong. Semua ahli pembentang adalah terdiri daripada kaum Cina. Walaupun, wujudnya sedikit masalah komunikasi sepanjang penyampaian pembentangan mereka, namun saya kagum melihat kesungguhan mereka dalam menyampaikan hasil kajian mereka sebaik mungkin.

Tambahan pula, kesungguhan mereka dapat dilihat berdasarkan kaedah mendapatkan maklumat berkaitan Mak Yong itu sendiri. Di mana, mereka telah pergi ke Istana budaya dan berjumpa dengan penggiat dan jurulatih Mak Yong sendiri. Ini sudah cukup mempamerkan minat dan kesungguhan mereka dalam melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan kepada mereka. TAHNIAH saya ucapkan kepada para pembentang.

Sebelum membentangkan hasil kajian, mereka telah menggunakan satu pendekatan yang sedikit berbeza berbanding kumpulan pembentang yang lain. Bagi menarik perhatian dan tumpuan rakan sekelas, ahli pembentang telah memberi peluang kepada kami untuk melakukan sendiri tarian mengadap rebab dengan mengikut (meniru) gaya tarian seperti yang ditayangkan di dalam video. Walaupun tidak semua boleh meniru gaya tarian tersebut dengan baik seperti yang ditayangkan di dalam video, namun pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang sangat menarik bagi saya dan rakan-rakan yang lain.

Menyentuh sedikit mengenai perkembangan Mak Yong, seperti persembahan seni tradisional yang lain juga, Mak Yong telah mengalami pembaharuan mengikut arus pemodenan. Dari segi pakaian (costume) Mak Yong telah mengalami perubahan mengikut fesyen moden. Bahkan ada yang mengadaptasikan konsep pakaian Mak Yong dalam fesyen pakaian pengantin. Dari segi alat muzik pula, rebab memainkan peranan penting dan ianya sangat dihormati. Ini dapat dibuktikan apabila permulaan tarian dimulakan dengan mengadap rebab sebagai simbolik penghormatan terhadap alat muzik tersebut. Irama Mak Yong adalah mengikut gongngan iaitu gendang anak dan ibu. Hampir semua rentak muzik Mak Yong bertempo agak perlahan.

Secara keseluruhannya, hasil pembentangan kumpulan pada minggu ke-9 ini secara tidak langsung memberi input dan maklumat yang lebih kepada saya dan rakan-rakan sekelas yang lain mengenai seni Mak Yong. Satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan adalah peluang menarikan tarian mengadapa rebab yang belum pernah saya tarikan sebelum ini. Sekaligus, ia memberi kesedaran kepada saya dalam mencintai dan menghargai seni persembahan warisan negara kita yang unik dan tiada tandingannya.

Terima Kasih... (^_^)

1 comments:

Damiana on October 29, 2010 at 5:51 PM said...

Mak Yung, saya kurang berminat dengan seni muzik ini.

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kump. A

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP2252 Khadijah Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template