Sunday, October 31, 2010

Minggu 14: Jurnal Refleksi


Salam Warisan...Salam Permai Bumi Tuhan...

Jurnal Refleksi pada minggu terakhir ini adalah berkaitan tajuk kuliah yang disampaikan oleh pensyarah iaitu Tarian Singa.

Tarian Singa atau dalam bahasa Cina disebut sebagai pinyin ( 舞獅 ushī ) merupakan sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina di mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.

Melihat kepada sejarah singa, sejarah dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam. Setiap negara tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun tarian ini lebih terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan".

Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa mereka menggunakan warna merah, jingga dan kuning (hijau bagi kostum singa betina). Tarian Singa Utara adalah lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.

Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya.

Pada kuliah minggu ke 14 ini, kami seperti biasa dipaparkan dengan video. Video kali ini berkisarkan kepada Tarian Singa. Saya tertarik dengan gerak tari semasa persembahan yang ditayangkan. Penuh dengan nilai estetikanya. Inilah yang dikatakan keunikan tarian singa ini. Gerak tari dua orang penari dalam 1 jasad (kostum singa) ini sudah cukup membawa satu nilai dan keunikan yang membawa identiti tersendiri.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berasa sangat bangga dan bertuah kerana menjadi warga bagi sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian seni dan budaya setiap etnik, kaum dan bangsa yang berbeza. Kepelbagaian (varsity) seni dan budaya ini perlu dipelihara kerana ia merupakan aset yang sangat berharga kepada negara kita.


Teruskan Membaca...

Monday, October 25, 2010

Minggu 13: Jurnal Refleksi

Salam Warisan dan Salam 1 Malaysia...

Salam bertemu kembali. Minggu ini merupakan 2 minggu terakhir sebelum berakhirnya kuliah pada semester ini. Sehubungan itu, ada beberapa tajuk penting yang perlu diselesaikan oleh pensyarah untuk dikuliah pada semester ini.

Jurnal Refleksi Minggu Ke-13 ini akan menyentuh ulasan mengenai topik yang dikuliahkan oleh pensyarah iaitu "Gendang 24 Musim" atau disebut juga sebagai "Ji Qie".





Idea muzik ini diasaskan kepada satu musim pertanian di negara Cina. Nama musim ini ditulis pada gendang dengan kaligrafi Cina. Bagaimanapun 'Gendang 24 Musim' ini datangnya daripada 4 musim besar (musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk / dingin) yang kemudiannya dibahagikan kepada 6 musim keci).

Satu-satunya alat muzik utama ensamble ini adalah gendang yang digelar gendang
shigu (dram tarian singa) atau ada juga yang menggunakan gendang longgu. Gendang yang dipalu dengan gerak tari yang seragam sangat mengagumkan dan membawa kepada satu identiti yang tersendiri.

Semoga "Gendang 24 Musim" ini terus mendapat perhatian dan diperkenalkan secara lebih meluas khususnya kepada seluruh masyarakat Malaysia dan amnya kepada masyarakat antarabangsa.

Teruskan Membaca...

Wednesday, October 20, 2010

Minggu 11: Jurnal Refleksi


Salam Warisan & Salam 1 Malaysia...

Dalam ruangan Jurnal Refleksi (Minggu Ke-11) pada kali ini saya ingin berkongsi bersama rakan-rakan mengenai pembentangan kumpulan kami iaitu mengenai tajuk wayang kulit. Hasil pembentangan kami adalah berdasarkan kajian lapangan yang telah kami lakukan di ASWARA. Kami telah membuat kajian di ASWARA pada 24 September 2010 iaitu pada hari Jumaat, bagi mendapatkan maklumat dan gambaran yang lebih jelas mengenai Wayang Kulit. Kami telah medapat kerjasama pensyarah (En. Mohd Nasir bin Yusoff ataupun yang lebih dikenali dengan gelaran Pok Nasir). Beliau juga merupakan penggiat seni Wayang Kulit terkenal di Malaysia. Beliau sangat aktif dalam usaha membawa seni wayang kulit dipersada dunia sehingga telah melakukan banyak persembahan di beberapa buah negara termasuk menghadiri beberapa konvensyen dan persidangan mengenainya.

(Rajah 1: Bergambar kenangan bersama Pak Nasir)

Pada hari pembentangan kami telah membawa sedikit pendekatan yang berbeza iaitu dengan membuat demonstrasi persembahan wayang kulit dengan kerjasama kakitangan Fakulti Seni & Muzik sendiri. Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana berjaya menarik minat, perhatian dan tumpuan rakan-rakan supaya memberi fokus kepada tajuk pembentangan kami pada hari tersebut.

Selesai sahaja demonstrasi tersebut, kami terus beralih kepada sesi pembentangan setiap ahli kumpulan. Setiap ahli kumpulan membentangkan bahagian masing-masing berdasarkan kepada pembahagian yang telah ditetapkan di awal perbincangan.

Bermula dengan saudari Finaz dengan tajuk pengenalan dan sejarah wayang kulit sedikit sebanyak telah memberi gambaran awal mengenai wayang kulit. Seterusnya diikuti dengan tajuk Wayang Gedek yang disampaikan oleh saudari Emma. Tajuk seterusnya telah disampaikan oleh saudara Azirul iaitu mengenai Wayang Kulit Melayu. Saudara Firdaus pula telah memberikan penjelasan mengenai Wayang Kulit Jawa yang juga dikenali sebagai Wayang Purwo.

Pembentangan seterusnya yang disampaikan oleh saudara Amirul memberi fokus kepada Wayang Kulit Kelantan dan sekaligus menghuraikan hasil kajian kami berkenaan Wayang Kulit Kelantan berdasarkan maklumat, pendapat dan pandangan responden (Pak Nasir). Antara perkara penting yang dibincangkan adalah mengenai Sejarah Wayang Kulit, Penjelasan Tentang Wayang Kulit Kelantan, Bentuk Patung & Watak Wayang Kelantan, Mantera Wayang Kelantan, Upacara Buka Panggung, Lagu-Lagu Wayang Kulit serta Cabaran Wayang Kulit.

Pembentangan terakhir pula adalah berkenaan Pantang Larang Dalam Seni Wayang Kulit, Persamaan dan Perbezaan Ciri Wayang Kulit, Isu dan Cabaran serta Pandangan dan Cadangan kami dalam memartabatka dan melestarikan Seni Wayang Kulit khususnya pada zaman moden ini. Perkara-perkara ini telah dibentangkan oleh saya sendiri.

Secara keseluruhannya, setiap ahli berjaya menyampaikan pembentangan masing-masing dengan baik sungguhpun ada beberapa persoalan yang tidak dapat dijawab setelah ditanya oleh rakan-rakan yang lain. Kekengan masa secara tidak langsung sebenarnya membatasi pengetahuan dan pemahana secara mendalam mengenai sesuatu perkara dalam seni wayang kulit ini. Ini adalah kerana seni wayang kulit ini merupakan satu seni yang sangat kompleks dan memerlukan penglibatan, kajian, dan pemerhatian yang luas.

Ringkasnya, selaku pembentang terakhir kami berasa sangat lega dan bersyukur kerana berjaya menyelesaikan tugasan ini sepertimana yang dikehendaki oleh pensyarah. Jutaan terima kasih juga diucapkan khususnya kepada Pak Nasir dan En. Amran kerana banyak membantu kami sepanjang proses pelaksanaan tugasan ini. Semoga hasil kajian ini dapat memberi input dan pengalaman yang baik dan berkesan untuk semua.

Sekian...Salam Warisan...


Teruskan Membaca...

Minggu 10: Jurnal Refleksi

Salam Warisan....

Jurnal Refleksi pada minggu ini adalah berkisarkan kepada hasil pembentangan kumpulan yang telah diberi tajuk Nobat dan Orkestra Cina Moden (OCM).

(Rajah 1: Kumpulan Nobat)

Sebelum ini saya pernah mendengar perkataan Nobat. Namun, saya tidak mengetahui banyak perkara mengenai muzik diraja ini. Saya begitu teruja untuk mengetahui secara lebih mendalam mengenai Nobat ini dan tidak sabar-sabar menunggu penjelasan daripada para pembentang.

Di Malaysia, muzik Nobat hanya terdapat di negeri Kedah, Terengganu, Perak, Selangor dan Melaka. Nobat hanya dipersembahkan apabila mendapat titah daripada Sultan. Seperti yang dimaklumkan, Nobat merupakan sejenis alat kebesaran diraja negeri. Sehubungan itu, sebagai alat muzik diraja ianya sangat berbeza jika dibandingkan dengan muzik-muzik yang lain. Perbezaan yang dimaksudkan di sini adalah dari segi nilai Nobat yang seiring dengan kedudakannya sebagai muzik diraja itu sendiri. Ini adalah kerana Nobat hanya boleh dimainkan atau dipersembahkan apabila mendapat titah daripada Sultan sahaja. Ia hanya dimainka pada hari-hari sambutan atau peristiwa-peristiwa tertentu sahaja. Ianya tidak boleh dimainkan sesuka hati kerana muzik ini mempunyai pantang larangnya yang tersendiri.

Antara lain yang menarik minat saya mengenai Nobat ini adalah mengenai salah satu pantang larangnya. Di mana, muzik Nobat ini hanya boleh dimainkan oleh orang yang berketurunan kalur atau pewaris lelaki bagi keturunan ini. Muzik ini hanya melibatkan kaum lelaki sahaja dan perempuan sama sekali tidak boleh memainkan alat muzik ini. Alat muzik ini juga hanya boleh dipegang dan dimainkan oleh orang-orang tertentu sahaja. Golongan biasa adalah dilarang memegang dan bermain muzik Nobat ini sama sekali.

Antara alat muzik Nobat ialah 'Nafiri', 'Serunai,' 'Gendang', 'Nahara' dan 'Gong.' Nafiri hanya dimainkan dalam muzik Nobat. Saya juga tertarik setelah dimaklumkan bahawa permukaan bawah gendang Nahara itu dikatakan diperbuat daripada kulit perut perempuan mengandung.


Beralih kepada Orkestra Cina Moden (OCM). OCM merupakan salah satu orkestra yang popular di Singapura. Ianya merupakan permainan orang berbangsa Cina. Namun di Malaysia, ianya kurang meluas disebabkan oleh beberapa perkara. Namun, ia masih wujud dan terdapat badan-badan tertentu yang masih berusaha untuk memertabatkan da mengembangkan lagi OCM ini.
Pembentang juga berjaya menarik minat rakan-rakan sekelas yang lain kerana mempunyai slide powerpoint yang sangat menarik.

Sebelum ini, saya pernah menonton OCM ini dipersembahkan di televisyen. Kagum dan teruja saya melihat kecekapan pemuzik yang memainkan alat-alat muzik yang unik dan sangat asing bagi saya. Namun, saya tidak mengetahui nama-nama alat muzik yang dimainkan tersebut. Setelah mendapat penjelasan daripada rakan-rakan pembentang pada minggu ke-10 ini, barulah mengetahui nama-nama alat muzik tersebut.

Antara alat muzik yang terdapat dalam OCM ini ialah sheng, pipa, muyu, bangzi, dizi, suona, yunluo, paigu, banhu, dan banyak lagi. Kesemua alat muzik ini adalah pecahan alat muzik dari kategori bowed strings, plucked strings, woodwinds dan juga percussion. Dalam OCM, hanya 4 kategori alat muzik ini sahaja yang dimainkan. Salah satu alat muzik yang menarik perhatian saya adalah muyu. Ia merupakan sejenis alat muzik yang diukir daripada kayu dan diukir menjadi bentuk ikan. Bunyinya dihasilkan melalui ketukan di atas blog kayu yang telah diukir itu.

(Rajah 2: Muyu)
(Sejenis alat muzik yang diukir dan menghasilkan bunyi melalui ketukan)



Secara keseluruhannya, kedua-dua tajuk pembentangan pada minggu ke-9 ini merupakan tajuk yang sangat menarik. Para pembentang juga telah berjaya menyampaikan pembentangan dengan baik dan jelas dan masing-masing mempunyai gaya persembahan dan kelebihan yang tersendiri. Apa yang paling penting adalah banyak input yang saya dapat daripada pembentangan yang dijalankan. Input-input seperti ini sangat berguna khususnya kepada mereka yang bakal bergelar pendidik bagi subjek Pendidikan Muzik. Diharapkan agar lebih banyak kajian akan dilakukan oleh pelajar tentang ensembel muzik ini pada masa akan datang bagi mengelakkannya dari terus hilang ditelan dek zaman.



Teruskan Membaca...

Tuesday, October 19, 2010

Minggu 9: Jurnal Refleksi


Salam Warisan dan Salam 1 Malaysia...

Pada Kuliah Minggu ke-9 ini merupakan kuliah yang sedikit berbeza berbanding dengan kuliah kami sebelumnya. Ini adalah kerana pada permulaan kuliah, kami telah berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi yang dipersembahkan oleh Dekan Fakulti Muzik (Prof. Dr. Hasan) bersama beberapa orang staf fakulti. Pada kesempatan ini saya telah berpeluang
menyaksikan alat muzik tradisional yang jarang saya lihat dimainkan secara life seperti rebab, kesi dan gedombak. Saya juga telah mengambil kesempatan untuk merakamkan demonstrasi pada hari tersebut.

Demontsrasi telah dijalankan selama lebih satu jam. Dekan Fakulti Muzik kemudian telah menceritakan pengalamannya sewaktu membuat lawatan dan persembahan di beberapa buah negara seperti Singapura dan Beijing. Saya turut merasa bangga kerana seni muzik tradisional kita telah mendapat tempat hingga ke luar negara.

Selesai demontrasi tersebut, En. Amran segera memberi laluan kepada kumpulan pembentang pada minggu ini menyampaikan pembentangan mereka. Pada minggu ini tajuk pembentangan adalah berkaitan dengan Mak Yong. Semua ahli pembentang adalah terdiri daripada kaum Cina. Walaupun, wujudnya sedikit masalah komunikasi sepanjang penyampaian pembentangan mereka, namun saya kagum melihat kesungguhan mereka dalam menyampaikan hasil kajian mereka sebaik mungkin.

Tambahan pula, kesungguhan mereka dapat dilihat berdasarkan kaedah mendapatkan maklumat berkaitan Mak Yong itu sendiri. Di mana, mereka telah pergi ke Istana budaya dan berjumpa dengan penggiat dan jurulatih Mak Yong sendiri. Ini sudah cukup mempamerkan minat dan kesungguhan mereka dalam melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan kepada mereka. TAHNIAH saya ucapkan kepada para pembentang.

Sebelum membentangkan hasil kajian, mereka telah menggunakan satu pendekatan yang sedikit berbeza berbanding kumpulan pembentang yang lain. Bagi menarik perhatian dan tumpuan rakan sekelas, ahli pembentang telah memberi peluang kepada kami untuk melakukan sendiri tarian mengadap rebab dengan mengikut (meniru) gaya tarian seperti yang ditayangkan di dalam video. Walaupun tidak semua boleh meniru gaya tarian tersebut dengan baik seperti yang ditayangkan di dalam video, namun pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang sangat menarik bagi saya dan rakan-rakan yang lain.

Menyentuh sedikit mengenai perkembangan Mak Yong, seperti persembahan seni tradisional yang lain juga, Mak Yong telah mengalami pembaharuan mengikut arus pemodenan. Dari segi pakaian (costume) Mak Yong telah mengalami perubahan mengikut fesyen moden. Bahkan ada yang mengadaptasikan konsep pakaian Mak Yong dalam fesyen pakaian pengantin. Dari segi alat muzik pula, rebab memainkan peranan penting dan ianya sangat dihormati. Ini dapat dibuktikan apabila permulaan tarian dimulakan dengan mengadap rebab sebagai simbolik penghormatan terhadap alat muzik tersebut. Irama Mak Yong adalah mengikut gongngan iaitu gendang anak dan ibu. Hampir semua rentak muzik Mak Yong bertempo agak perlahan.

Secara keseluruhannya, hasil pembentangan kumpulan pada minggu ke-9 ini secara tidak langsung memberi input dan maklumat yang lebih kepada saya dan rakan-rakan sekelas yang lain mengenai seni Mak Yong. Satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan adalah peluang menarikan tarian mengadapa rebab yang belum pernah saya tarikan sebelum ini. Sekaligus, ia memberi kesedaran kepada saya dalam mencintai dan menghargai seni persembahan warisan negara kita yang unik dan tiada tandingannya.

Terima Kasih... (^_^)
Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kump. A

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP2252 Khadijah Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template